Pada 26 dan 27 Jun 2010 , 30 orang pengawas pusat sumber , 10 orang ahli kelab pusat sumber dan 4 orang guru pengiring telah menyertai Program Kembara Membaca Melaka tahun 2010 . Program ini dianjurkan oleh Pusat Sumber SMK Taman Keramat dan Panitia Bahasa Melayu SMK Taman Keramat . Para peserta program ini adalah kumpulan Rakan Pembaca yang telah mencapai tahap kedua program NILAM yang telah membaca lebih daripada 50 buah buku . Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang pentingnya budaya ilmu dan membaca . Pada 26 Jun 2010 para peserta telah melawat Zoo Melaka . Destinasi seterusnya ialah Taman Botanikal Melaka . Para peserta menginap di sana selama di tempat penginapan yang dipanggil "dangau" . Pelajar-pelajar juga turut melawat kampung Buku Malaysia yang terletak di Taman Botanikal itu . Pada sebelah petang , pelajar-pelajar berpeluang melihat panorama matahari terbenam di tepi pantai dan menikmati makan malam di Perkampungan Ikan Bakar Terapung Umbai Melaka . Pada 27 Jun 2010 , para peserta telah melawat Menara Taming Sari . Para peserta telah berpeluang menikmati pemandangan sekitar Melaka yang amat menakjubkan dari puncak Menara Taming Sari . Selepas itu , pelajar juga dibawa melawat ke muzium-muzium yang berdekatan .